Membarigakan maklumat isu semasa, dasar kerajaan




Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Azmah Haji Ahad, Arifah Mohammad Aliwaridi





MENTIRI, Rabu, 21 Januari. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri terus melaksanakan usahanya untuk membarigakan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.


Sehubungan dengan itu, Jabatan Penerangan melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Batu Marang, Mukim Mentiri, bertempat di rumah kediamaan Pemangku Ketua Kampung Batu Marang, Awang Haji Maidin bin Tarip, hari ini.


Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan, Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar, manakala rombongan dari Kampung Batu Marang diketuai oleh Pemangku Ketua Kampung Batu Marang.


Turut hadir menyampaikan maklumat mengenai Brunei Identiti Digital (BruneiID) kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai-pegawai dari Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC).


Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan yang antara lain menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.


Program berkenaan adalah sebagai salah satu usaha di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan, iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.


Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu- isu yang dibangkitkan, yang antaranya berkaitan dengan prasarana awam, perekonomian, keselamatan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.



Close